Oleh : Dk. Hajah Naqayatul Akma Pg. Haji Ali / Foto : Mohammad Hasif Matzin, Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 4 Ogos. - Sebagaimana yang kita sedia maklum, pada Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang lalu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah bertitah akan tiga perkara utama.
Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib mengongsikan, pertama, baginda telah memperkenankan bagi Persidangan MMN ini untuk diadakan dua kali setahun bermula dengan tahun ini.
Sementara kedua, tambah Yang Di-Pertua MMN, baginda juga telah memperkenankan pengemaskinian ke atas prosedur dan proses kerja kita menurut Peraturan-peraturan Mesyuarat atau Standing Orders dan ketiga, baginda juga telah memperkenankan Penggubalan Kod Etika bagi Ahli MMN.
“Alhamdulillah, titah baginda itu merupakan satu penghormatan dan kepercayaan kepada MMN ini untuk melaksanakan perubahan yang besar ini dengan harapan agar perbincangan akan lebih teratur, lebih fokus dan berkesinambungan yang dapat mencerminkan kematangan dan profesionalisme Ahli-ahli Yang Berhormat yang sentiasa bekerjasama untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat di negara ini," ujar Yang Di-Pertua MMN pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, pagi tadi.
Antara urusan utama dalam Mesyuarat Kedua ini, jelas Yang Di-Pertua MMN, adalah usul yang akan membincangkan usaha senegara dalam mencapai Wawasan Brunei 2035 yang sudah setentunya kejayaannya bergantung kepada penglibatan menyeluruh, usaha gigih dan kerjasama berterusan daripada semua pihak dan lapisan masyarakat untuk bertindak dan bersatu.
Tambah Yang Di-Pertua MMN, setentunya ini adalah sangat sesuai untuk dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat kita ini. Mesyuarat Kedua ini juga membuka ruang bagi pertanyaan dari Ahli-ahli Yang Dilantik untuk mendapatkan penjelasan yang lebih mendalam dan juga memberi peluang kepada Ahli-ahli Rasmi Kerana Jawatan untuk mengongsikan inisiatif-inisiatif kerajaan yang menyokong agenda pembangunan negara.
Yang Di-Pertua MMN berharap dalam Mesyuarat Kedua ini mempunyai peranan besar dalam menjalankan semak dan imbang dalam agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.
“Ahli-ahli Yang Berhormat berpeluang untuk berbahas dan walaupun akan ada perbezaan pandangan, saya berharap perbahasan akan dapat dijalankan dalam suasana yang matang, penuh tertib dan berhemah dengan berpegang kepada prinsip Melayu Islam Beraja.
“Saya menyeru kepada ahli-ahli akan berpegang kepada kekuatan MMN dalam sama-sama menjalankan amanah demi kebaikan rakyat dan masa depan negara ini. Ini bermakna Persidangan MMN ini perlu dibangunkan untuk menjadi medan pertukaran-pertukaran idea, buah fikiran dan penyelesaian demi memperbaiki dasar dan kehidupan rakyat dan seharusnya dipandang sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat," jelas Yang Di-Pertua MMN.
Yang Di-Pertua MMN seterusnya menegaskan Ahli-ahli Yang Berhormat perlu sama-sama menjalankan tanggungjawab bersama secara 'collective responsibility' demi memikirkan pembangunan negara kita ini apa lagi dalam suasana dunia yang kurang menentu pada waktu ini.
Dalam membincangkan dan membahaskan isu-isu yang berkenaan, Yang Di-Pertua MMN ingin menekankan bahawa Peraturan-peraturan Mesyuarat atau Standing Orders haruslah sentiasa dihormati dan dipatuhi sepenuhnya demi memastikan integriti dan kemuliaan institusi MMN sentiasa terpelihara.
Jelas Yang Di-Pertua MMN lagi, perkara ini adalah penting bukan bagi memantapkan, bukan saja memantapkan proses permesyuaratan tetapi adalah bukti bahawa MMN kita boleh mengaplikasikan Peraturan Mesyuarat dengan tertib.
“Saya berharap Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian akan sentiasa beriltizam bagi meletakkan MMN sebagai sebuah institusi yang penting dalam negara ini, apa lagi dalam kewujudannya adalah sudah termaktub dalam perlembagaan negara kita.
“Marilah kita bersama-sama memeriahkan setiap sesi mesyuarat dalam dewan yang mulia ini dengan perbahasan yang lebih berkesan dan berimpak tinggi serta menjaga kesantunan semata-mata demi memastikan kebajikan rakyat, kesejahteraan negara yang kita sayangi. Ahli-ahli Yang Berhormat, di hadapan kita nampaknya ada urusan-urusan mesyuarat yang perlu diselesaikan dan saya cadangkan agar kita berpindah ke perkara lain," ujar Yang Di-Pertua MMN mengakhiri ucapan.